Warga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor meluahkan rasa tidak puas hati berhubung isu pertukaran pegawai yang didakwa tidak mengikut peraturan serta melibatkan campur tangan kroni dalam pentadbiran jabatan itu. Arahan rasmi menetapkan tempoh perkhidmatan pegawai di sesuatu bahagian adalah selama lima tahun, namun beberapa pertukaran dilakukan sebelum tempoh tersebut tanpa penjelasan jelas.
Salah seorang pegawai yang menjadi tumpuan adalah Diana Kasim, Gred KP 2 (TBK), yang sebelum ini bertugas di Kelana Jaya kurang dari setahun. Diana kemudiannya dipindahkan menjadi Penolong Amil (PA) kepada Pengarah Imigresen Perak, Tuan James Lee, selama kurang seminggu.
Selepas itu, beliau dipindahkan ke Bahagian Pendakwaan dan terkini ke Bahagian Visa Pas dan Permit – semua pertukaran ini berlaku dalam tempoh kurang dari setahun. Warga JIM Selangor mendakwa pertukaran ini berpunca daripada hubungan peribadi yang rapat antara Diana Kasim dengan Ketua Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Puan Norzam Suhada, yang dikatakan terlibat dalam skandal sulit dengan Tuan James Lee.
Mereka turut mendakwa bahawa kedua-dua pegawai ini sering dilihat bersama-sama di lokasi awam, walaupun masing-masing mempunyai keluarga sendiri. Lebih membimbangkan, mereka turut menyorot bagaimana Tuan James Lee, sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Imigresen Negeri Perak, dikatakan telah mengatur penempatan pegawai tertentu di jawatan strategik mengikut kepentingan peribadi.
Contohnya, pegawai seperti Tuan Emrie yang baru setahun bertugas di Lapangan Terbang Subang telah dipindahkan semula ke Bahagian Penguatkuasa di Shah Alam. Warga JIM Selangor turut mempersoalkan integriti dan ketelusan Bahagian Sumber Manusia yang dikatakan membiarkan gangguan “tangan ghaib” mengatur pertukaran pegawai.
Puan Zueraini binti Zakaria, pegawai sumber manusia, turut dipersoalkan berapa lama beliau sudah berkhidmat tanpa sebarang putaran pertukaran jawatan yang adil. Kes ini mencetuskan persoalan besar mengenai integriti pentadbiran Jabatan Imigresen Negeri Selangor dan ketelusan dalam pengurusan sumber manusia.
Warga jabatan berharap agar pihak atasan Jabatan Imigresen dapat menjalankan siasatan telus dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengembalikan kepercayaan dan keadilan dalam perkhidmatan mereka.